Senafas ‘Ilmu
Senafas Ilmu adalah laman blog
yang diasaskan atas kesedaran terhadap kasih sayang terhadap orang sekeliling
saya berlandaskan ‘ilmu. Salah satu pendekatan untuk orang sekeliling saya
kembali menyintai ‘ilmu dan berusaha untuk menuntut ‘ilmu dalam segala macam
bidang di dalam kehidupan adalah dengan membongkarkan kembali sejarah
kegemilangan Islam terdahulu melalui tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang terdiri
daripada pelbagai lapisan masyarakat. Bermula dari seorang hamba, peniaga,
bangsawan,pemerintah, tentera dan banyak lagi. Ini menjelaskan kepada kita
bahawa budaya ‘ilmu itu tidak terhad terhadap orang yang berada di dalam
universiti sahaja ataupun ahli akademik sahaja, jauh menjangkau daripada itu
adalah budaya ini harus menjadi sebahagian daripada kehidupan kita walaupun
menceburi pelbagai macam bidang.
Pada
hemat saya sendiri, masyarakat sekarang tidak seharusnya sekadar mengagumi
hasil yang lahir dari budaya ‘ilmu masyarakat pada zaman silam, namun jauh
lebih penting daripada itu untuk direnungkan adalah kita seharusnya mengkaji
kembali budaya ‘ilmu yang mereka ‘amalkan dalam kehidupan seharian sehingga
mampu menghasilkan seribu satu macam hasil yang penuh gemilang. Seandainya kita
hanya tahu berbangga dengan sejarah lampau kegemilangan Islam tetapi kurang
sekali mengambil usaha untuk mencipta sejarah untuk tatapan generasi akan
dating, maka kita harus malu dengan diri sendiri.
Pada
nama Senafas ‘Ilmu itu sendiri menjelaskan bahawa kehidupan ini mestilah
bernafaskan ‘ilmu walaupun apa pekerjaan kita. Ini penting bagi memastikan kita
senantiasa sedar dan jelas apa yang kita perlakukan dalam perjalanan hidup ini.
Tidak terlepas hela nafas kita melainkan ia berpandukan kepada ‘ilmu.
Setiap
hela yang dihembuskan dan dihirup dalam kehidupan harian mestilah dimajukan
dari masa ke semasa melalui usaha meningkatkan ‘ilmu dengan bersungguh-sungguh
dan penuh ‘iltizam. Budaya menuntut ‘ilmu dengan pelbagai macam cara dan
lapangan wajib menjadi amalan seharian.
Jika
difikirkan kembali, binatang di hutan pun sendiri bernafas. Namun, sejauh
manakah nafas yang dihela itu terkandung akan ‘ilmu? Lantaran itu, untuk
membezakan diri kita sebagai manusia dengan binatang, sewajibnya nafas kita itu
diisi dengan ‘ilmu supaya hidup sentiasa terpandu oleh Allah SWT. Sekiranya
usaha menuntut ‘ilmu tidak digerakkan dengan bersungguh-sungguh, kelak kita
akan menjadi lebih hina daripada binatang.
‘Ulama
zaman silam begitu khuatir jika sesaat daripada kehidupan mereka itu terlepas
daripada panduan Allah SWT. Untuk hidup sentiasa dipandu Ilahi, ‘ilmu itu sendiri
yang menjadi kemudi kukuh untuk melayari kehidupan yang saban hari lautan ujian
yang ganas bergelora harus dihadapi dengan penuh gagah. Kesedaran ini yang
membuatkan para ‘ilmuwan Islam terdahulu terus-menerus menuntut ‘ilmu walaupun
apa cara ada.
Imam
Ahmad pernah ditanya: “Manakah yang lebih baik, seorang yang menuntut ‘ilmu
dengan mendampingi seorang ‘alim yang memiliki ‘ilmu yang banyak atau orang
yang bermusafir untuk menuntut ‘ilmu?” Beliau menjawab, “Orang yang bermusafir
adalah lebih baik. Dia boleh menulis ‘ilmu daripada para ‘ulama dari pelbagai
negeri. Dia dapat bertemu dengan ramai manusia dan belajar daripada mereka.”
Anekdot ini dirakamkan oleh Ibnu Hajar al-Asqolani dalam Fath al-Bari.
No comments:
Post a Comment