Monday, June 17, 2013

Khalifah Al-Hakam II (al-Ḥakam II ibn ʿAbd al-Raḥmān III)

Al-Hakam II (al-Ḥakam II ibn ʿAbd al-Raḥmān III)


Khalifah al-Hakam II sendiri adalah seorang sarjana yang sangat tekun mencari ilmu. Menurut ahli sejarawan, tidak ada seorang raja pada zaman itu yang setanding dengannya dalam bidang keilmuan. Ini menunjukkan bahawa al-Hakam sememangnya seorang khalifah yang terpelajar yang amat cintakan ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan sarjana-sarjana yang mahir dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Antara guru-guru beliau dalam bidang sains termasuklah Qasim ibn Asbagh, Ahmad ibn Dahim, Muhammad ibn 'Abd al-Salam al-Khushani, Zakariya ibn al-Khattab dan Thabit ibn Qasim.

Khalifah al-Hakam II adalah seorang raja yang suka membaca dan tabiat inilah yang memberi kepuasan kepadanya berbanding aktiviti-aktiviti lain. Beliau amat berminat mengumpulkan buku-buku ilmiah. Usaha mengumpulkan buku ini bukanlah semata-mata hobi kalangan raja tetapi juga untuk kemudahan masyarakat. Beliau berusaha mengumpulkan buku-buku dan manuskrip berharga yang sukar diperoleh dengan cara menghantar ejen-ejennya ke semua pusat perkembangan keilmuan pada waktu itu seperti Kaherah, Baghdad, Damsyik dan Iskandariah. Mereka ditugaskan membeli atau menyalin buku-buku di sana tanpa mengira harga.

Sebagai contoh, Khalifah al-Hakam II dikatakan sanggup membeli naskhah pertama Kitab al-Aghani karya Abu-l-Faraj al-Isfahani (897-966 Masihi) dengan harga seribu dinar emas. Buat pertama kali, Kitab al-Aghani yang mengandungi 20 jilid himpunan sajak dan lagu sejak sebelum kedatangan Islam itu disiarkan di Andalus sebelum tersiar di wilayah-wilayah Islam yang lain. Di istana beliau dipenuhi dengan para penyalin, penjilid dan penghias buku yang ditugaskan khas untuk menjaga buku-buku dan manuskrip yang terdapat di perpustakaannya. Selain itu, al-Hakam II juga telah menubuhkan scriptorium (sina'at al-naskh)[1] dan tempat menjilid buku di istananya.

Di perpustakaan milik Khalifah al-Hakam II terdapat lebih daripada 400 000 buah buku dan 44 buah katalog yang kebanyakannya sudah pun dibaca oleh beliau. Beliau bukan setakat membaca, tetapi juga membuat beberapa catatan dan ditambah dengan bahan-bahan rujukan yang lain. Misalnya, beliau membuat nota bibliografi pengarang seperti nama, nama keluarga, nama asal bapa atau moyang pengarang, ahli keluarga dan suku asal, tarikh kelahiran dan kematian serta maklumat-maklumat lain berkenaan pengarang pada bahagian permulaan atau akhir setiap buku yang dibacanya. Beginilah cara al-Hakam menambahkan ilmu pengetahuannya. Ibn al-Abbar mengatakan bahawa Khalifah al-Hakam II begitu mahir dengan kandungan semua buku yang terdapat di perpustakaannya.

Bagaimana beliau mempunyai masa yang sebegitu banyak untuk membaca sejumlah buku tersebut? Antara kuantiti dan kualiti masa? Hadis Imam Karmani? Imam an-Nawawi menghasilkan ratusan kitab dalam usia yang sebegitu muda.

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;
"Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".
Hadis Riwayat Tirmizi

Keterangan     
                               
Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.

Menurut Irnam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa ini ialah dicabut keberkatan daripadanya. Mcmang benar apa yang dikatakan oleh Imam al-Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan. Ini adalah satu petanda hampirnya qiamat.

Tidak hairanlah dikatakan bahawa ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Khalifah al-Hakam II dalam bidang sejarah, biografi dan geneologi melebihi cerdik pandai yang ada pada zamannya. Beliau adalah seorang sejarawan yang sungguh cemerlang dan saksama semasa membuat kritikan. Maklumat beliau tentang sejarah sangat tepat dan setiap pengadilan yang dilakukan oleh beliau begitu mendalam sehinggakan segala pendapat yang diutarakan tidak pernah dipersoalkan oleh mana-mana sarjana besar dunia yang hidup pada zamannya. Beliau juga pernah menghasilkan satu karya yang baik tentang sejarah Andalus tetapi malangnya ia telah musnah.[2]

Keprihatinan Khalifah al-Hakam II terhadap kebajikan para sarjana Andalus, sarjana luar, para saintis dan ahli falsafah adalah sama dan tidak terbatas. Beliau amat menggalakkan perkembangan ilmu falsafah dan berusaha melindungi ahli falsafah daripada ancaman pembunuhan oleh golongan fanatik agama yang menentang perkembangan keilmuan. Di samping itu, beliau juga telah menubuhkan satu biro penterjemahan untuk menterjemah karya Aristotle dan Euclid. Semasa zaman pemerintahan beliau, ilmu sains dan perubatan dikatakan lebih maju berbanding yang telah ditinggalkan oleh Yunani pada tujuh abad sebelumnya. Begitu juga dengan semua cabang ilmu yang lain turut berkembang subur di bawah pemerintahannya. Seluruh sarjana dari Afrika, Asia dan Eropah boleh ditemui di kota Cordova pada zaman tersebut.

Pada zaman pemerintahan Khalifah al-Hakam II, Andalus telah tiba ke puncak kegemilangan kebudayaan. Menurut Dozy, di bawah pemerintahan Khalifah al-Hakam II inilah, seluruh masyarakat Andalus boleh membaca dan menulis. Sebaliknya, di sebelah Kristian Eropah, hanya sesetengah golongan sahaja yang boleh mendapat pendidikan dan kebanyakkan mereka ini terdiri daripada golongan paderi.[3]




[1] Tempat khas untuk menulis.
[2] Andalus: Semarak Tamadun di Eropah, Salmah Omar, Karisma Publication, hlm.19.
[3] Dozy, R. (1913). Spanish Islam, A History of The Moslems In Spain. London: Frank Cass. hlm.455.

No comments:

Post a Comment