Al-Hakam II (al-Ḥakam II
ibn ʿAbd al-Raḥmān III)
Khalifah al-Hakam II sendiri adalah seorang sarjana yang
sangat tekun mencari ilmu. Menurut ahli sejarawan, tidak ada seorang raja pada
zaman itu yang setanding dengannya dalam bidang keilmuan. Ini menunjukkan
bahawa al-Hakam sememangnya seorang khalifah yang terpelajar yang amat cintakan
ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan sarjana-sarjana yang mahir dalam
pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Antara guru-guru beliau dalam bidang sains
termasuklah Qasim ibn Asbagh, Ahmad ibn Dahim, Muhammad ibn 'Abd al-Salam
al-Khushani, Zakariya ibn al-Khattab dan Thabit ibn Qasim.
Khalifah al-Hakam II adalah seorang raja yang suka membaca
dan tabiat inilah yang memberi kepuasan kepadanya berbanding aktiviti-aktiviti
lain. Beliau amat berminat mengumpulkan buku-buku ilmiah. Usaha mengumpulkan
buku ini bukanlah semata-mata hobi kalangan raja tetapi juga untuk kemudahan
masyarakat. Beliau berusaha mengumpulkan buku-buku dan manuskrip berharga yang
sukar diperoleh dengan cara menghantar ejen-ejennya ke semua pusat perkembangan
keilmuan pada waktu itu seperti Kaherah, Baghdad, Damsyik dan Iskandariah.
Mereka ditugaskan membeli atau menyalin buku-buku di sana tanpa mengira harga.
Sebagai contoh, Khalifah al-Hakam II dikatakan sanggup
membeli naskhah pertama Kitab al-Aghani karya Abu-l-Faraj al-Isfahani (897-966
Masihi) dengan harga seribu dinar emas. Buat pertama kali, Kitab al-Aghani yang
mengandungi 20 jilid himpunan sajak dan lagu sejak sebelum kedatangan Islam itu
disiarkan di Andalus sebelum tersiar di wilayah-wilayah Islam yang lain. Di
istana beliau dipenuhi dengan para penyalin, penjilid dan penghias buku yang
ditugaskan khas untuk menjaga buku-buku dan manuskrip yang terdapat di
perpustakaannya. Selain itu, al-Hakam II juga telah menubuhkan scriptorium (sina'at
al-naskh) dan
tempat menjilid buku di istananya.
Di perpustakaan milik Khalifah al-Hakam II terdapat lebih
daripada 400 000 buah buku dan 44 buah katalog yang kebanyakannya sudah pun
dibaca oleh beliau. Beliau bukan setakat membaca, tetapi juga membuat beberapa
catatan dan ditambah dengan bahan-bahan rujukan yang lain. Misalnya, beliau
membuat nota bibliografi pengarang seperti nama, nama keluarga, nama asal bapa
atau moyang pengarang, ahli keluarga dan suku asal, tarikh kelahiran dan
kematian serta maklumat-maklumat lain berkenaan pengarang pada bahagian
permulaan atau akhir setiap buku yang dibacanya. Beginilah cara al-Hakam
menambahkan ilmu pengetahuannya. Ibn al-Abbar mengatakan bahawa Khalifah
al-Hakam II begitu mahir dengan kandungan semua buku yang terdapat di
perpustakaannya.
Bagaimana beliau mempunyai masa yang sebegitu banyak untuk
membaca sejumlah buku tersebut? Antara kuantiti dan kualiti masa? Hadis Imam
Karmani? Imam an-Nawawi menghasilkan ratusan kitab dalam usia yang sebegitu
muda.
Daripada Anas bin Malik r.a.
berkata: Rasulullah saw. bersabda;
"Tidak akan terjadi qiamat
sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan
sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan
sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan
api".
Hadis
Riwayat Tirmizi
Keterangan
Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu,
tiba-tiba masa sudah terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum dapat
diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang
disibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada ada perkara yang dapat
kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.
Menurut Irnam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya
masa ini ialah dicabut keberkatan daripadanya. Mcmang benar apa yang dikatakan
oleh Imam al-Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara
yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya
sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan. Ini adalah satu petanda
hampirnya qiamat.
Tidak hairanlah dikatakan bahawa ilmu pengetahuan yang
dimiliki oleh Khalifah al-Hakam II dalam bidang sejarah, biografi dan geneologi
melebihi cerdik pandai yang ada pada zamannya. Beliau adalah seorang sejarawan
yang sungguh cemerlang dan saksama semasa membuat kritikan. Maklumat beliau
tentang sejarah sangat tepat dan setiap pengadilan yang dilakukan oleh beliau
begitu mendalam sehinggakan segala pendapat yang diutarakan tidak pernah
dipersoalkan oleh mana-mana sarjana besar dunia yang hidup pada zamannya.
Beliau juga pernah menghasilkan satu karya yang baik tentang sejarah Andalus
tetapi malangnya ia telah musnah.
Keprihatinan Khalifah al-Hakam II terhadap kebajikan para
sarjana Andalus, sarjana luar, para saintis dan ahli falsafah adalah sama dan
tidak terbatas. Beliau amat menggalakkan perkembangan ilmu falsafah dan
berusaha melindungi ahli falsafah daripada ancaman pembunuhan oleh golongan
fanatik agama yang menentang perkembangan keilmuan. Di samping itu, beliau juga
telah menubuhkan satu biro penterjemahan untuk menterjemah karya Aristotle dan
Euclid. Semasa zaman pemerintahan beliau, ilmu sains dan perubatan dikatakan
lebih maju berbanding yang telah ditinggalkan oleh Yunani pada tujuh abad
sebelumnya. Begitu juga dengan semua cabang ilmu yang lain turut berkembang
subur di bawah pemerintahannya. Seluruh sarjana dari Afrika, Asia dan Eropah
boleh ditemui di kota Cordova pada zaman tersebut.
Pada zaman pemerintahan Khalifah al-Hakam II, Andalus telah
tiba ke puncak kegemilangan kebudayaan. Menurut Dozy, di bawah pemerintahan
Khalifah al-Hakam II inilah, seluruh masyarakat Andalus boleh membaca dan
menulis. Sebaliknya, di sebelah Kristian Eropah, hanya sesetengah golongan
sahaja yang boleh mendapat pendidikan dan kebanyakkan mereka ini terdiri
daripada golongan paderi.