Tuesday, June 18, 2013

Ibnul Jahm : Mengusir Rasa Mengantuk Dengan Membaca Buku


Ibnul Jahm : Mengusir Rasa Mengantuk Dengan Membaca Buku



Ibnul Jahm berkata,[1] “Apabila rasa mengantuk mulai menyerang kedua mataku bukan pada waktunya, maka aku segera membaca buku mutiara hikmah. Kemudian semangat membacaku pun kembali membara. Aku menemukan kembali kelapangan hati pada saat diperlukan.. Sedang kesenagan dan kemuliaan yang memenuhi hatiku lebih cepat membuatku bangun daripada keldai dan guruh.”

Saya katakan,“Ini adalah puncak kecintaan terhadap buku dan ‘ilmu. Jika rasa mengantuk telah menguasainya dia pun mengusir dengan mengambil buku kemudian membacanya. Dia kembali bersemangat untuk membaca dan merasa girang kerana mutiara ‘ilmunya. Lalu di manakah sifat–sifat ini wahai para pencari ‘ilmu, yang mengusir tidurnya dengan membaca buku? Sungguh dua keadaan yang berbeza- sekaligus hasil yang berbeza, tidak lain kerana berbezanya cara pandang mereka terhadap ‘ilmu tersebut.”[2]

Ini bukanlah suatu keajaiban. Ini adalah suatu realiti bagi diri manusia yang mana akan terpegun dengan apabila berhadapan dengan sesuatu yang dicintainya. Bayangkan jika di dalam kelas, sering sahaja ada yang mengantuk, namun apabila ada sahaja perempuan lalu dihadapan, terus hilang rasa mengantuk malah terus sahaja segar dan bertenaga. Khususnya bagi sebahagian pelajar lelaki.

Rasa cinta terhadap ‘ilmu itu sememangnya sangat berfungsi untuk mengelakkan seseorang itu merasa malas, bosan dan mengantuk sewaktu membaca. Cinta seharusnya diusahakan untuk memupuknya di dalam hati.



[1] Dinukilkan dari buku Al-Hayawan 1/53. Karya Al-Jahizh.
[2] Kata yang lebih sesuai untuk diucapkan kepada para pemalas adalah seperti yang disebutkan oleh Al-Jahizh dalam Al-Bayan wa At-Tabayyun (1/170)ketika beliau menyebutkan bahawasanya seseorang berkata kepada Khalid bin Shafwan (ahli balaghah), “Mengapa saat aku melihat kalian asyik mempelajari kisah-kisah, mengkaji atsar dan bersenandung dengan syair-syair rasa mengantuk langsung menyerangkan?” Dia pun menjawab, “Hal itu tidak lain kerana anda adalah seekor keldai berwajah manusia.”

Monday, June 17, 2013

Al-Jahiz : Pembaca Tegar

Al-Jahiz : Pembaca Tegar

Peradaban Islam juga tidak kalah dengan bibliofil yang cukup luar biasa. Misalnya, diceritakan seorang penjual roti bernama Al-Jahiz yang amat mencintai ilmu dan gemar membaca. Malam harinya dihabiskan dengan berwacana bersama para ulama dan membaca buku di perpustakaan peribadinya. Kegigihannya menyebabkan beliau terkenal dalam kalangan ulama sehingga mampu menjadi sasterawan tersohor. Beliau pernah menggambarkan lautan bukunya kepada seorang teman dengan menyatakan:

"Buku itu diam apabila engkau menghendakinya diam, berbicara apabila engkau mengkehendakinya berbicara. Ia tidak akan mengganggu kalau engkau sedang bekerja tetapi apabila engkau berasa kesepian, ia akan menjadi temanmu yang baik. Engkau tidak perlu marah dan berkecil hati kepadanya. Ia merupakan teman yang tidak menipu atau bermuka dua."[1]





[1] Sejarah Pendidikan Islam. Ahmad Shallaby, Singapura : Pustaka Nasional, 1976,

Sultan Muhammad Al-Fateh : Menguasai Bahasa Untuk Membaca

Sultan Muhammad Al-Fateh : Menguasai Bahasa Untuk Membaca

Sebuah buku yang mempengaruhi keinginan saya untuk menguasai bahasa dengan baik terutamanya bahasa Inggeris dan Arab adalah karya Ustaz Syaari Abdul Rahman yang bertajuk Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh. Sudah 3 kali saya mengulangi pembacaan terhadap buku ini sehingga hampir lunyai. Kekaguman saya mula berputik apabila mengetahui Sultan Muhammad Al-Fateh mampu menguasai 7 bahasa iaitu; Turki, Arab, Latin, Parsi, Hebrew, Serbia dan Greek.

            Ini sebenarnya bagi memudahkan Al-Fateh membaca surat yang dihantarkan oleh negara-negara yang berada dibawah pemerintahannya. Lantas, Al-Fateh tidak memerlukan penterjemah untuk membacakan kepadanya dan ini membolehkannya memahami dengan mudah mesej yang hendak disampaikan kepadanya.


Sultan Muhammad Al-Fateh
Sumber : https://en.wikipedia.org/wiki/File:Gentile_Bellini_003.jpg

            Terdetik dalam hati saya, "Kalau Sultan Muhammad Al-Fateh itu sendiri boleh kuasai 7 bahasa dalam kesibukannya memerintah sebuah empayar yang luas, jadi kenapa tidak aku mampu untuk menguasai untuk 2 bahasa sahaja. Mesti boleh!" Itulah detik hati yang menjadi niat yang saya nekad untuk menjayakannya di dalam kehidupan dengan pelbagai jenis usaha yang digerakkan sedikit demi sedikit.

            Dalam buku setebal 197 mukasurat itu, perhatian saya terkesan kepada ulasan Dr. Muhammad Ali As-Solabi yang menyatakan peribadi Al-Fateh,

“Sultan Muhammad Al-Fateh menguasai dengan baik bahasa Rom. Ini supaya muncul kebangkitan intelektual daripada rakyatnya. Sultan Muhammad Al-Fateh memerintahkan supaya aktiviti penterjemahan khazanah-khazanah klasik dalam bahasa Yunani, Latin, Parsi, dan Arab ke Bahasa Turki. Satu daripada buku yang diterjemahkan itu adalah Masyahir al-Rijal atau Orang-orang Terkenal karya Poltark. Buku lain yang diterjemahkan ke bahasa Turki adalah buku karangan Abul Qasim Az-Zahrawi yang berjudul al-Tashrif fil al-Thibbi. Buku ini kemudiannya diberi perbahasan tambahan oleh penulis-penulis Usmaniah berbangsa Turki perihal alat-alat bedah dan posisi pesakit ketika pembedahan dilakukan.”[1]

            Dalam mukasurat seterusnya, Al-Fateh turut menekankan kepentingan pengajaran bahasa Arab dalam Madrasah Usmaniah :

“Sultan Muhammad Al-Fateh mengambil berat perihal bahasa Arab. Tidak ada yang lebih mendapat perhatian Sultan Muhammad al-Fateh daripada permintaannya kepada seluruh tenaga pengajar di madrasah Usmaniah bagi memiliki enam buku wajib dalam bahasa Arab seperti Kitab as-Shihah, at-Takmilah, al-Qamus dan sebagainya.”[2]

            Ada satu perkara yang saya perhatikan mengenai usaha keilmuan yang dijalan Al-Fateh adalah beliau bukan sahaja menguasai pelbagai bahasa untuk membolehkan beliau memahami dengan baik bahasa-bahasa yang digunakan oleh masyarakat di sekeliling empayarnya, tetapi beliau turut melipatgandakan usaha itu dengan menggerakkan usaha penterjemahan terhadap karya-karya dari pelbagai macam bahasa bagi merancakkan perkembangan ilmu terhadap rakyatnya. Ini merupakan usaha dua hala yang dilakukan Al-Fateh.




[1] Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh karya Muhammad Syaari Abdul Rahman, PTS Publication: hlm.148.
[2] Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh karya Muhammad Syaari Abdul Rahman, PTS Publication: hlm.149.

Sifat Tawaduk Ibn Khaldun

Sifat Tawaduk Ibn Khaldun

Ibn Khaldun terkenal dengan kitabnya iaitu Muqaddimmah. Dalam suatu catatan, dijelaskan bahawa Ibn Khaldun begitu bersifat tawaduk sewaktu mengarang kitabnya.



            Pada setiap kalimat yang hendak ia tuliskan terdapat sebuah inti. Hingga ketika ia selesai dari membaca buku rujukannya, ia pun menulis: "Telah selesai juz pertama yang mencakup dari pembukaan yang ditulis dalam waktu lima bulan di pertengahan tahun 779 Hijriah Segala puji dan sanjungan bagi Allah SWT. Semua ini ditulis pada malam kesembilan dari bulan Jamadilakhir, pada tahun yang telah disebut oleh hamba yang fakir dan senantiasa mengharapkan rahmat dari Rabb-nya, Yang Mahakaya dengan segala kelembutannya-Nya, Abdurrahman bin Muhammad bin Khaldun al-Hadhrami." Mudah-mudahan Allah SWT memberikan ampunan kepadanya.

            Demikianlah, di tengah kebisuan malam, Ibn Khaldun telah dapat menyelesaikan buku Muqaddimah sebagai karyanya yang terkenal hingga kini. Di kediamannya, di desa terpencil di antara kaki gunung al-Awrus, ia telah berhasil menyelesaikan tulisannya. Ia kemudian beranjak menuju tempat tidurnya. Ia tidak mengetahui bahwa apa yang ia tulis merupakan inti dari sebuah pemikiran dunia dan telah membukakan bagi manusia sebuah ilmu yang baru, yaitu ilmu sosiologi (kemasyarakatan) dan pengantar dalam sejarah ilmu filsafat. Sebuah tulisan yang dapat memantik pemikiran selanjutnya menjadi jauh lebih maju ke depan.[1]


[1] The Great Nights 24 Malam Yang Mengubah Dunia Islam, Dr. Husai Mu'nis, Ufuk Publishing House, hlm.33.

Taqiuddin al-Maqrizi

Taqiuddin al-Maqrizi

Taqiuddin al-Maqrizi merupakan anak murid kepada Ibnu Khaldun. Beliau berjaya menyelesaikan kumpulan buku kecil bertajuk Pertolongan Umat dengan Menyingkap Kesusahan yang berjumlah sekitar 80 halaman dalam hanya satu malam. Beliau mengatakan dalam penutup bukunya :

"Aku dimudahkan untuk menertibkan karya ini, serta merapikannya dalam satu malam, dari malam-malam Muharam tahun 808 Hijriah. Allah SWT berkehendak untuk memberikan hidayah kepada siapa saja yang diinginkanNya. Segala puji hanya bagi Allah Yang Maha Esa. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW".[1]


            Buku ini diluncurkan di saat umat Islam ketika itu berhadapan dengan ujian kehidupan yang penuh dengan kesusahan disamping beberapa siri peperangan yang tidak berkesudahan pada zaman pemerintahan Mamalik.

            Keprihatinan dan kasih sayang yang menitip di dalam hati para ilmuwan inilah yang mencetuskan suatu gelombang tenaga yang menakjubkan dalam diri mereka untuk mengarang sesebuah kitab dalam masa yang singkat. Mereka berusaha untuk membantu dengan menyelesaikan kekusutan ummah dan mencerahkan pandangan umat untuk berjalan meniti penyelesaian untuk dikerja. Segala apa yang dianugerahkan kepada mereka dimanfaatkan semaksima mungkin dengan menggunakan kemampuan ilmu mereka yang ada dan mencurahkannya di atas lembaran kertas menerusi coretan pena tanpa mengenal erti penat.




[1] The Great Nights 24 Malam Yang Mengubah Dunia Islam, Dr. Husain Mu'nis, Ufuk Publishing House, hlm.109.

Khalifah Al-Hakam II (al-Ḥakam II ibn ʿAbd al-Raḥmān III)

Al-Hakam II (al-Ḥakam II ibn ʿAbd al-Raḥmān III)


Khalifah al-Hakam II sendiri adalah seorang sarjana yang sangat tekun mencari ilmu. Menurut ahli sejarawan, tidak ada seorang raja pada zaman itu yang setanding dengannya dalam bidang keilmuan. Ini menunjukkan bahawa al-Hakam sememangnya seorang khalifah yang terpelajar yang amat cintakan ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan sarjana-sarjana yang mahir dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Antara guru-guru beliau dalam bidang sains termasuklah Qasim ibn Asbagh, Ahmad ibn Dahim, Muhammad ibn 'Abd al-Salam al-Khushani, Zakariya ibn al-Khattab dan Thabit ibn Qasim.

Khalifah al-Hakam II adalah seorang raja yang suka membaca dan tabiat inilah yang memberi kepuasan kepadanya berbanding aktiviti-aktiviti lain. Beliau amat berminat mengumpulkan buku-buku ilmiah. Usaha mengumpulkan buku ini bukanlah semata-mata hobi kalangan raja tetapi juga untuk kemudahan masyarakat. Beliau berusaha mengumpulkan buku-buku dan manuskrip berharga yang sukar diperoleh dengan cara menghantar ejen-ejennya ke semua pusat perkembangan keilmuan pada waktu itu seperti Kaherah, Baghdad, Damsyik dan Iskandariah. Mereka ditugaskan membeli atau menyalin buku-buku di sana tanpa mengira harga.

Sebagai contoh, Khalifah al-Hakam II dikatakan sanggup membeli naskhah pertama Kitab al-Aghani karya Abu-l-Faraj al-Isfahani (897-966 Masihi) dengan harga seribu dinar emas. Buat pertama kali, Kitab al-Aghani yang mengandungi 20 jilid himpunan sajak dan lagu sejak sebelum kedatangan Islam itu disiarkan di Andalus sebelum tersiar di wilayah-wilayah Islam yang lain. Di istana beliau dipenuhi dengan para penyalin, penjilid dan penghias buku yang ditugaskan khas untuk menjaga buku-buku dan manuskrip yang terdapat di perpustakaannya. Selain itu, al-Hakam II juga telah menubuhkan scriptorium (sina'at al-naskh)[1] dan tempat menjilid buku di istananya.

Di perpustakaan milik Khalifah al-Hakam II terdapat lebih daripada 400 000 buah buku dan 44 buah katalog yang kebanyakannya sudah pun dibaca oleh beliau. Beliau bukan setakat membaca, tetapi juga membuat beberapa catatan dan ditambah dengan bahan-bahan rujukan yang lain. Misalnya, beliau membuat nota bibliografi pengarang seperti nama, nama keluarga, nama asal bapa atau moyang pengarang, ahli keluarga dan suku asal, tarikh kelahiran dan kematian serta maklumat-maklumat lain berkenaan pengarang pada bahagian permulaan atau akhir setiap buku yang dibacanya. Beginilah cara al-Hakam menambahkan ilmu pengetahuannya. Ibn al-Abbar mengatakan bahawa Khalifah al-Hakam II begitu mahir dengan kandungan semua buku yang terdapat di perpustakaannya.

Bagaimana beliau mempunyai masa yang sebegitu banyak untuk membaca sejumlah buku tersebut? Antara kuantiti dan kualiti masa? Hadis Imam Karmani? Imam an-Nawawi menghasilkan ratusan kitab dalam usia yang sebegitu muda.

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;
"Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".
Hadis Riwayat Tirmizi

Keterangan     
                               
Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.

Menurut Irnam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa ini ialah dicabut keberkatan daripadanya. Mcmang benar apa yang dikatakan oleh Imam al-Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan. Ini adalah satu petanda hampirnya qiamat.

Tidak hairanlah dikatakan bahawa ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Khalifah al-Hakam II dalam bidang sejarah, biografi dan geneologi melebihi cerdik pandai yang ada pada zamannya. Beliau adalah seorang sejarawan yang sungguh cemerlang dan saksama semasa membuat kritikan. Maklumat beliau tentang sejarah sangat tepat dan setiap pengadilan yang dilakukan oleh beliau begitu mendalam sehinggakan segala pendapat yang diutarakan tidak pernah dipersoalkan oleh mana-mana sarjana besar dunia yang hidup pada zamannya. Beliau juga pernah menghasilkan satu karya yang baik tentang sejarah Andalus tetapi malangnya ia telah musnah.[2]

Keprihatinan Khalifah al-Hakam II terhadap kebajikan para sarjana Andalus, sarjana luar, para saintis dan ahli falsafah adalah sama dan tidak terbatas. Beliau amat menggalakkan perkembangan ilmu falsafah dan berusaha melindungi ahli falsafah daripada ancaman pembunuhan oleh golongan fanatik agama yang menentang perkembangan keilmuan. Di samping itu, beliau juga telah menubuhkan satu biro penterjemahan untuk menterjemah karya Aristotle dan Euclid. Semasa zaman pemerintahan beliau, ilmu sains dan perubatan dikatakan lebih maju berbanding yang telah ditinggalkan oleh Yunani pada tujuh abad sebelumnya. Begitu juga dengan semua cabang ilmu yang lain turut berkembang subur di bawah pemerintahannya. Seluruh sarjana dari Afrika, Asia dan Eropah boleh ditemui di kota Cordova pada zaman tersebut.

Pada zaman pemerintahan Khalifah al-Hakam II, Andalus telah tiba ke puncak kegemilangan kebudayaan. Menurut Dozy, di bawah pemerintahan Khalifah al-Hakam II inilah, seluruh masyarakat Andalus boleh membaca dan menulis. Sebaliknya, di sebelah Kristian Eropah, hanya sesetengah golongan sahaja yang boleh mendapat pendidikan dan kebanyakkan mereka ini terdiri daripada golongan paderi.[3]




[1] Tempat khas untuk menulis.
[2] Andalus: Semarak Tamadun di Eropah, Salmah Omar, Karisma Publication, hlm.19.
[3] Dozy, R. (1913). Spanish Islam, A History of The Moslems In Spain. London: Frank Cass. hlm.455.